Riwayat hidup Godiva

Catatan sejarah

Godiva isteri kepada Leofric, Earl Mercia. Mereka mempunyai sembilan anak termasuk Aelfgar yang bakal mewarisi gelaran pembesar itu.[1][2][3][4][5] Namanya turut tercatat dalam kitab bancian Domesday dengan ejaan yang berbeza-beza.

Nama beliau bentuk bahasa Latin dari nama bahasa Inggeris Lama Godgifu atau Godgyfu yang bererti "pemberian Tuhan" (gift of God, God's gift atau God-given); nama ini begitu masyhur diberikan kepada kaum wanita sezamannya.[5][6]

Selepas Leofric meninggal pada tahun 1057, Godiva hidup berjanda hingga suatu ketika antara Penaklukan Norman pada tahun 1066 dan 1086. Namanya tercatat dalam bancian Domesday sebagai salah satu dari beberapa Anglo-Saxon dan satu-satunya wanita yang tetap menjadi pemilik tanah utama sejurus selepas penaklukan. Pada tamatnya bancian hebat ini pada tahun 1086, Godiva telah meninggal dunia, namun hartanahnya masih tersenarai dipegang oleh orang lain[7] - maka Godiva difikirkan meninggal antara 1066 dan 1086.[8]

Lagenda diceritakan

Kisah paling dikenali mengenai Godiva mula dicatat pada abad ke-13 dalam Flores Historiarum serta saduran karya tersebut dibuat Roger dari Wendover yang bermula seperti berikut:[9][10][11] Godiva mendapat tahu mengenai pencukaian dikenakan suaminya terhadap kota Coventry lalu kasihan akan warga-warga kota tersebut yang disusahkan peraturan ini. Godiva merayu-rayu kepada suaminya agar pencukaian tersebut ditarik balik. Leofric pada asalnya berdegil dengan pendiriannya namun akhirnya serik dan mencabar Godiva bertelanjang dan berkuda keliling Coventry.

Godiva menyahut cabaran tersebut. Maka, Godiva pun mengumumkan niatnya di hadapan orang ramai sambil memberi amaran agar semua orang kekal di rumah dan menutup tingkap-tingkap rumah mereka. Tidak lama selepas seluruh kota tersebut mengunci dalam rumah dan bangunan masing-masing, Godiva menanggalkan pakaiannya sambil menutupi payudaranya dengan rambutnya yang panjang. Leofric terharu dengan keberanian isterinya menunaikan janjinya lalu memansuhkan cukai ini.

Ada seorang dalam kalangan warga kota ini yang diceritakan mencuri intai melihat kelibat Godiva[12] - ada cerita yang menyatakan orang tersebut dibutakan sebagai balasan Tuhan, ada juga yang menyatakan dia ditangkap orang sekampung lalu dihukum atas pelanggaran perintah tersebut.[13] Salah laku ini diabadikan dalam gelaran untuk sesiapa yang dianggap mengintai senyap-senyap iaitu peeping Tom ("Tom si Pengintai")[14]